LANGKAH UNTUK MENGURANGKAN PENGAMBILAN GULA

Gula putih menyekat sistem imun. Didapati gula putih boleh mengurangkan hayat dan jumlah sel darah putih yang menjadi ejen utama kepada sistem imun kita untuk menghalang jangkitan atau kemasukan benda asing ke dalam badan. Ada yang mengatakan gula juga membuatkan badan kita bersifat asidik yang menyebabkan kita lebih mudah diserang bakteria dan virus. Malah, gula juga menjadi makanan utama kepada bakteria dan fungus jika berlaku jangkitan.

Gula putih dikategorikan sebagai makanan tinggi glisemik. Maknanya, ia menyebabkan paras gula darah meningkat cepat dan menjejaskan paras insulin. Maka ia dianggap makanan terlarang, terutama bagi pesakit kencing manis, kerana ia menyukarkan kawalan paras gula darah.

Gula juga ada kaitan rapat dengan kanser. Walaupun kebanyakan doktor tidak mengenakan pantang larang makanan kepada pesakit kanser yang menerima rawatan, mengawal kandungan gula dalam darah membantu meningkatkan tahap kesihatan pesakit.

Kawalan paras gula dalam darah melalui penjagaan makanan, senaman, makanan tambahan dan ubat antara komponen penting dalam rawatan kanser.

Mengurangkan pengambilan gula dianggap langkah penting untuk membantu menurunkan berat badan. Masalah dihadapi kebanyakan orang ialah mempunyai bekalan tenaga harian berlebihan daripada makanan dan minuman. Walaupun semua orang tahu bersenam itu penting bagi membakar (menggunakan tenaga), masih ada yang liat mengamalkannya. Tenaga yang berlebihan, ditambah pula tenaga daripada gula dalam minuman, turut menyumbang kepada pertambahan berat badan.

Gula dan makanan manis adalah penyebab utama kepada kerosakan gigi seperti kerap dialami kanak-kanak. Bakteria dalam mulut menggunakan gula ini untuk menjadikan keadaan mulut lebih berasid bagi memecahkan lapisan enamel (lapisan gigi paling luar). Lama kelamaan, gigi akan berlubang. Apabila ini terjadi, banyak masalah lain menyusul, termasuk sakit gigi, jangkitan dan kehilangan gigi.

Tabiat makan yang terlalu kerap juga perlu dihentikan. Ini kerana apabila kita makan (khususnya makanan mengandungi karbohidrat), ia meningkatkan kemungkinan pereputan gigi kerana air liur lebih banyak digunakan untuk menghancurkan makanan, sedangkan air liur penting bagi meneutralkan tahap keasidan mulut.

Dalam kajian lain mendapati, masalah kesihatan gigi boleh menjadi penyumbang langsung kepada masalah jantung. Untuk mengelak masalah kesihatan yang lebih serius, kurangkan pengambilan gula dalam makanan harian.

 

Leave a comment